Wednesday 7 September 2011

Suasana Kemerdekaan di SK Mohd Ariff Abdullah, Kuala Ketil.

 
Guru Kelas 3 Tekun sebagai wakil kelas menerima hadiah bagi tempat ke3 kelas tercantik dalam pertandingan menghias bendera sempena Hari Kemerdekaan.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, setiap kelas telah menghias kelas masing-masing dengan bendera Malaysia bagi meningkatkan lagi semangat kemerdekaan yang melambangkan negara Malaysia sudah bebas daripada dijajah. Sejarah kemerdekaan juga telah diceritakan pada perhimpunan sekolah yang lalu bagi mengingati pejuang-pejuang yang berkorban membebaskan negara daripada kuasa luar. Semua murid bersemangat menghias kelas agar kelas mereka diantara kelas yang paling cantik dan meriah.

Tuesday 16 August 2011

Ihya' Ramadhan

Sempena bulan Ramadhan, SK Mohd Ariff Abdullah, Kuala Ketil telah mengadakan Program Ihya' Ramadhan. Semua murid tahap 1 dan 2 bertadarus pada waktu rehat mengikut kumpulan yang telah diberikan. Setiap kumpulan mempunyai guru bimbingan agar bacaan Al-Quran menjadi sempurna. Disamping itu, semua murid dapat menambah pahala di bulan yang penuh berkat ini selain berpuasa di siang hari.

Monday 15 August 2011

Latihan Kebakaran

Latihan kebakaran diadakan secara mengejut. Semua murid berlari-lari mengikut laluan kecemasan yang telah dipaparkan di setiap kelas. Semua murid berpusu-pusu ke padang sekolah dan berbaris mengikut kelas. Manakala guru kelas pula perlu memastikanbilangan murid cukup dan tidak ada seorang pun yang tertinggal. Penerangan secara ringkas oleh wakil syarikat pembekalan alat pemadam api dengan cara yang betul. Kemudian demonstrasi dilakukan oleh guru dan murid bagaimana cara mempratikkan penggunaan alat pemadam api dengan cara yang betul. Ini sangat penting jika ada kecemasan atau sebarang kebakaran berlaku di sekolah.

Saturday 23 July 2011

Sukan Tahunan SKMAA 2011

Tarikh : 13/7/11
Hari : Rabu
Masa : Jam 2.30 pm - 6.30 pm
Tempat : Padang sekolah SKMAA

Sukan Tahunan SK Mohd Ariff Abdullah 2011 telah dijalankan dengan jayanya oleh semua murid, guru dan ibubapa. Sukan ini bermula pada 2.30 ptg hingga 6.30 ptg. Pelbagai acara diadakan untuk semua murid, guru dan ibubapa. Yang Dipertua PIBG turut hadir bagi memeriahkan majlis ini. Pada permulaan majlis ini, perarakan mengikut kontijen bagi setiap rumah sukan yang terdiri daripada Rumah Merah, Kuning, Biru dan Hijau telah diadakan bermula dari tapak perhimpunan hingga ke padang sekolah. Kemudian, ucapan daripada Yang Dipertua PIBG dan Perasmian oleh Guru Besar sebagai tanda bermulanya Sukan Tahunan SKMAA 2011. Diantara acara sukan yang disediakan selain olahraga ialah meniup belon, terompah gergasi, masukkan air ke dalam botol, berjalan menggunakan tempurung dan sebagainya. Setelah selesai semua acara, penyampaian hadiah dijalankan bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang. Pada tahun ini, Rumah Kuning menjadi Juara keseluruhan yang telah mengumpul mata paling tinggi. Syabas Rumah Kuning.





Saturday 16 July 2011

Sambutan Hari Guru SKMAA 2011

Sukan untuk Guru-guru ~ Bowling padang

 Nyanyian Lagu Guru Malaysia oleh Guru-guru SKMAA

Tarikh : 16/5/2011
Hari : Isnin
Masa : 7.40am hingga 1.15 pm
Tempat : SK Mohd Ariff Abdullah

Sambutan Hari Guru disambut dengan meriah oleh semua warga SKMAA dengan pelbagai aktiviti. Tema bagi tahun ini ialah "GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA".
Awal-awal pagi, murid-murid sibuk memberi hadiah kepada guru-guru mereka sebagai tanda penghargaan mengajar mereka agar menjadi insan cemerlang.

Antara aktiviti yang dijalankan iaitu :
Perhimpunan Khas Hari Guru
Nyanyian Lagu ( Negaraku, Negeri Kedah, Sekolah, Pendidikan Cemerlang Kedah Gemilang)
Membaca perutusan ( Menteri Pelajaran dan Pengarah Pelajaran)
Ucapan Wakil Murid, Wakil Guru, Wakil Guru SPI, YDP PIBG, Guru Besar
Ikrar hari Guru
Lagu Guru Malaysia
Bacaan Yasin
Sukan
Jamuan
Persembahan Hari Guru

Monday 27 June 2011

Majlis Perpisahan dan Majlis Raikan Guru Besar baru

Majlis Perpisahan diadakan buat En. Ishak B. Abdul selaku Penolong Kanan Pentadbiran dan  Pn. Nor Kamilah Bt. Ismail selaku Guru Besar SKMAA yang telah ditukarkan ke sekolah lain. Segala jasa baik mereka amat dihargai oleh warga SKMAA. Disamping itu,majlis ini juga meraikan Guru Besar baru iaitu En. Abd Malek B. Rasid yang ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Mohd Ariff Abdullah. Beliau merupakan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Paya Besar. Kedatangan beliau amat dialu-alukan. Semoga beliau dapat membimbing serta menjalankan tugas dengan sebaiknya.


Wednesday 1 June 2011

PENGGUNAAN ALAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK


ULASAN ARTIKEL : PENGGUNAAN ALAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

Wan Hamzari Bin Wan Hamid
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia


            Artikel ini merupakan satu kajian yang telah dilakukan oleh Bhasah Abu Bakar, Abd. Rahman Daud & Fairuz Abdul Haleem Shah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (UPSI). Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti takat penggunaan Alat Teknologi Pendidikan Matematik (ATPM) di sekolah-sekolah. Kajian ini meliputi sekolah yang pelbagai aliran seperti Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah (SM).

Kajian ini dilakukan berdasarkan daripada beberapa masalah yang telah digariskan iaitu kekurangan kemudahan IT yang disediakan di sekolah, sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kursus atau latihan guru terhadap penggunaan ATPM dan pengurusan sekolah ke atas pengurusan bilik sumber. Menurut Muhammad Khairuddin Lim, Ibrahim bin Tamby Chek (2006), mendapati bahawa guru yang mampu mengawal bilik darjah dengan cara yang tersendiri mampu mempengaruhi penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran yang di ajar. Kekangan-kekangan ini mungkin mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pembelajaran yang berkesan juga dianggap sebagai pembelajaran yang menyeronokkan (Dick  & Reiser, 1989).

Kemahiran guru dalam menggunakan ATP juga memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran dan ia tidak akan berkesan jika kemahiran ini tiada seperti yang didapati oleh Blondin (1966) bahawa salah satu faktor penghalang penggunaan ATP ialah kekurangan kemahiran di kalangan guru-guru. Pentadbiran sekolah juga merupakan halangan terhadap penggunaan ATP di sekolah. 

Terdapat beberapa persoalan tentang penggunaan ATPM di sekolah antaranya termasuklah menentukan tahap penggunaan ATPM berdasarkan aliran sekolah, mengenalpasti penggunaan ATPM dalam kalangan guru wanita dan lelaki, menentukan takat kecukupan ATPM di pusat sumber, menentukan takat penggunaan ATPM oleh guru-guru matematik, mengkaji penggunaan ATPM oleh guru-guru berdasarkan peringkat umur, dan menentukan sumber guru mendapatkan kemahiran menggunakan ATPM.

Antara faktor yang telah dikenal pasti dalam kajian literatur sebagai faktor yang memainkan peranan dalam penggunaan ATPM di sekolah iaitu sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kemahiran guru terhadap penggunaan ATPM, kursus dan latihan guru ke atas penggunaan ATPM, dan pengurusan sekolah terhadap penggunaan ATPM.

Kajian ini dijalankan secara tinjauan menggunakan kaedah pensampelan tinjauan dan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Data yang dipungut telah dianalisis menggunakan pakej SPSS Windows Versi 11. Statistik deskriptif dan inferential telah digunakan untuk menganalisis semua data kajian termasuklah kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, chi-ganda dua, anova dan ujian-t. Dalam artikel ini, ia menggunakan sebanyak 314 buah sekolah yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah rendah dan menengah sebagai sampel kajian.

Berdasarkan dapatan kajian yang telah dilakukan, didapati bahawa peralatan moden seperti televisyen, video dan komputer kurang digunakan berbanding kaedah konvensional iaitu menggunakan Carta Matematik, Model, poster matematik dan peralatan matematik. Dalam kaedah pengajaran konvensional, pengajar memberi penerangan dan menyebarkan ilmu berpusat di dalam kelas dan bergantung kepada silibus dan kaedah pengajaran oleh tenaga pengajar. Setiap tenaga pengajar juga mempunyai pendekatan berbeza mengikut inisiatif mereka untuk  memberi penjelasan terhadap topik atau bab yang diajar. Namun begitu, terdapat juga pelbagai bahan sumber pendidikan  termasuk kemudahan maklumat dari sumber elektronik dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar (Ismail Zain, 2002).

Hampir 50% dari setiap jenis sekolah tidak pernah menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di bilik darjah. Ini terbukti bahawa, guru masih lagi ketinggalan dalam dunia teknologi. Mengikut Mayer (2001, 2003) menyatakan bahawa pembelajaran multimedia merupakan bahan menggunakan perkataan dan gambar yang direka bentuk bagi menghasilkan pembelajaran bermakna. Sepatutnya guru mempelbagaikan gaya pengajaran mereka dengan menggunakan ATPM yang berteknologi dan terkini dan bukan hanya menggunakan kaedah konvensional. Dalam era globalisasi ini, guru perlu berani menggunakan ATPM yang berasaskan teknologi. Ini ditegaskan oleh Baharudin (2000), menyatakan bahawa visual grafik dan animasi dapat mempelbagaikan kaedah dan cara penyampaian oleh guru atau tenaga pengajar.

Dapatan dalam kajian ini juga menyatakan bahawa umur juga memainkan peranan dalam penggunaan ATPM bagi pengajaran dan pembelajaran.  Didapati guru berumur antara 25 ke 35 tahun lebih aktif menggunakan ATPM berbanding dengan guru yang baru keluar dari maktab atau universiti.  Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh semangat serta kudrat untuk mencurahkan ilmu kepada pelajar yang ada pada diri seseorang guru itu. Guru yang baru mula mengajar didapati lebih aktif menggunakan ATPM dari guru yang berumur lebih dari 35 tahun. Ini juga merupakan senario dalam dunia pendidikan di negara kita, di mana guru yang telah lama mengajar kurang menggunakan Alat Teknologi Pendidikan. Mungkin ia disebabkan oleh komitmen terhadap perkara lain bertambah serta semangat untuk mengajar dengan menggunakan Alat Teknologi Pendidikan kian pudar dalam diri mereka. Bukan itu saja, tahap kecelikan dalam bidang IT juga merupakan faktor yang menghalang penggunaan Alat Teknologi Pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru yang telah lanjut usianya kurang berminat dalam perkara atau alat yang berkaitan dengan teknologi. Di sini, kita dapat lihat faktor umur memainkan peranan dalam penggunaan ATPM.

Kekurangan alat ATPM di pusat sumber dan latihan kepada guru juga mungkin menjadi salah satu punca guru-guru kurang menggunakan ATPM moden yang mungkin wujud di pusat sumber.  Mereka kurang mendapat latihan daripada pihak yang berkuasa dan merasa ragu-ragu untuk mempelajari dari rakan sekerja ditakuti akan merosakkan alatan ATPM yang canggih itu. Keadaan ini mungkin disebabkan sistem pengendalian bilik sumber tidak membenarkan guru dapat menggunakan bilik sumber dengan bebas.  Mereka terikat dengan beberapa peraturan yang menyekat kebebasan mereka menggunakan bilik sumber yang sepatutnya dapat membantu guru dalam menyediakan alat bantu mengajar. Menurut Zol (2001), ketiadaan Alat Bahan Bantu Mengajar (ABBM) merupakan punca pelajar selalu menghadapi masalah yang serius untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran.


KESIMPULAN

Melalui kesimpulan dan perbincangan yang telah dilakukan menerusi kajian ini, didapati bahawa masih mengutamakan penggunaan ATPM konvensional daripada yang moden. Kajian ini juga mendapati bahawa peratusan guru yang tidak pernah menggunakan komputer dalam P&P adalah lebih tinggi daripada mereka yang menggunakan komputer dalam era IT masa kini. Dari sini dapat disimpulkan bahawa guru masih lagi kurang menggunakan ATPM secara keseluruhan iaitu menggabungkan kaedah konvensional dengan kaedah yang terkini untuk mendapatkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pendekatan pembelajaran yang berkesan mengikut minat dan keinginan pelajar adalah perlu dibangunkan supaya pelajar seronok dengan apa yang mereka belajar dan sekali gus akan meningkatkan pencapaian pelajar (Ee Ah Meng, 1999).

            Sebagai kesimpulannya, penggunaan Alat Teknologi Pengajaran memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pemilihan Alat Teknologi Pengajaran dalam proses pengajaran  dan pembelajaran dengan tepat memainkan peranan yang penting dalam keberkesanan sesuatu pembelajaran. Guru perlu mempunyai pengetahuan dalam mengenalpasti Alat Teknologi Pengajaran yang perlu digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, kemahiran mengendalikan Alat Teknologi Pengajaran perlu ada pada setiap guru tidak mengira umur, jantina, jenis sekolah yang diajar dan pengalaman mengajar kerana ia merupakan aspek yang penting untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan di negara kita.

RUJUKAN

Baharuddin Aris, Manimegalai Subramaniam & Rio Sumami Shariffudin (2001). Reka bentuk Perisian Multimedia. Muapakat Jaya Percitakan Sdn. Bhd.

Blondin, M.A. (1966). A Study to Determine Some of the Different To the Use of New Educational Media among Secondary and Elementary Principal and Teachers.  Unpublished M.A thesis.  University ateneo De Manila

Dick ,W. &  Reiser, R.A. (1989). Planning Efective Instruction. Prentice-Hall.

Ee Ah Meng (1999). Psikologi Pendidikan I: Psikologi Perkembangan. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ismail Zain (2002). Aplikasi Multimedia Dalam Pengajaran. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mayer R.E (2003). The Promise of Multimedia Learning : Using the same instructional design methods across different media, learning and instruction. UK: Cambridge University Press.

Muhammad Khairuddin Lim, Ibrahim bin Tamby Chek (2006). Kualiti Pengajaran  Guru Mempengaruhi Pembelajaran Pelajar di Bilik Darjah. Seminar dalam rangka Konferensi Internasional UPI – UPSI. Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zol Bahri Razali (2001). Pembelajaran Berbantu Multimedia: Implikasi Pembelajaran Subjek Kejuruteraan Mekanikal. KUKUM.